Perangi habis-habisan perjudian tidak berlesen – Mohd Shafie

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa pihak polis agar memerangi habis-habisan aktiviti perjudian tidak berlesen di negeri ini.

Mohd Shafie berkata beliau sedih dan kecewa pusat perjudian tidak berlesen, terutamanya yang melibatkan judi siber menyebabkan kesusahan kepada keluarga miskin.

“Wang tersebut yang sepatutnya digunakan bagi menyara keluarga dibazirkan dengan berjudi, dan saya harap polis akan berusaha memerangi gelaja ini secara habis-habisan,” katanya semasa menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu Datuk Omar Mammah.

Mengiringi Omar semasa kunjungan hormat itu adalah pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

Dalam pada itu, Mohd Shafie menasihatkan anggota pasukan keselamatan itu agar menjalankan tanggungjawab mereka tanpa rasa takut atau memihak kepada pihak tertentu dalam membendung kegiatan jenayah.

Ketua Menteri itu juga menggesa pihak polis supaya mengembangkan keberadaan mereka di pantai timur negeri berkenaan melibatkan rondaan udara dalam membendung jenayah rentas sempadan terutamanya kes penculikan bagi mendapatkan wang tebusan.

— BERNAMA

180