Geng Pi’e terbabit enam kes pecah rumah tumpas

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Rakhman (tengah) menunjukkan barang rampasan yang dicuri oleh suspek.

 

KOTA KINABALU: Tiga ahli ‘Geng Pie’ yang baru dibebaskan dari penjara sebulan lalu ditahan polis kerana terbabit dalam enam kes pecah rumah di sekitar Kota Kinabalu dengan anggaran nilai kerugian RM105,700 , dalam operasi yang dijalankan pada 17 September yang lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Rakhman, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 16 September lalu berhubung rumahnya di Taman Indah Permai, Sepanggar, yang telah dipecah masuk selepas beliau keluar bekerja.

Bertindak atas maklumat pihak polis telah berjaya menahan dua orang suspek di sekitar Sulaman, Sepanggar, kira-kira jam 9.00 pagi ketika operasi dijalankan, yang seterusnya membawa kepada penangkapan dalang utama kira-kira 45 minit selepas dua rakan suspek utama disoal siasat.

“Geng ini telah lama aktif melakukan jenayah pecah rumah dan ketiga-tiga suspek juga masing-masing mempunyai empat rekod jenayah lampau melibatkan pecah rumah, penagihan dadah dan curi di bangunan.”

“Ketiga-tiga suspek juga baru dibebaskan dari penjara sebulan yang lalu dan selepas disoal siasat kita dapati kesemua suspek terlibat dalam enam kes pecah rumah di sekitar Kota Kinabalu,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu,hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek warga tempatan yang berusia 26 hingga 36 tahun itu juga didapati positif dadah jenis syabu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh lima tahun dan boleh dikenakan denda,”katanya.

Sumber : SayangSabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *