
PAPAR: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya merempuh sebuah lori di Kilometer 28, Jalan Kimanis-Keningau, di sini, malam Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, mangsa berusia 64 tahun dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pengalat dari arah Keningau.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu sebuah kereta, manakala lori berkenaan dipandu lelaki tempatan berusia 35 tahun dari arah bertentangan.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan dipercayai membelok ke kanan untuk memasuki satu simpang.
“Bagaimanapun, disebabkan jarak terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak sebelum kereta dipandunya merempuh bahagian sisi kiri lori berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa tersepit di dalam kenderaan dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.
“Pemandu lori berusia 35 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan,” katanya.
Sehubungan itu, Heryan menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum membelok atau memasuki simpang, terutama pada waktu malam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor EL Najeeb Abdul Rhahman di talian 016-881 3880 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah