
LAHAD DATU: Cubaan seorang lelaki meloloskan diri daripada pemeriksaan polis tidak berhasil apabila dia diberkas bersama dadah disyaki syabu seberat 51.55 gram dalam Op Tapis di Jalan Lahad Datu-Sandakan, di sini, semalam.
Suspek berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira 7.10 malam selepas berlaku pergelutan dengan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pemeriksaan terhadap beg silang milik suspek menemukan tujuh paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah seberat 51.55 gram dengan anggaran nilai RM3,000.
“Polis turut merampas telefon bimbit, sebilah gunting dan pemetik api selain menyita sebuah motosikal untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
“Semakan turut mendapati lelaki terbabit mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dzulbaharin berkata, siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah serta rangkaian pengedaran yang terbabit.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah