Hutang Barangan Runcit Dipercayai Jadi Punca Warga Emas Maut Dikelar

Mayat lelaki warga emas yang ditemukan maut dengan kesan kelar pada leher di rumahnya di Kampung Gading, Ulu Bongawan, dibawa polis ke hospital untuk tindakan lanjut.

PAPAR: Perselisihan faham dipercayai berpunca daripada hutang pembelian barangan runcit membawa padah apabila seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun ditemukan maut dengan kesan kelar pada leher di kediamannya di Kampung Gading, Ulu Bongawan, di sini, pada Sabtu.

Susulan kejadian itu, seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun yang disyaki terbabit dalam pembunuhan berkenaan berjaya diberkas polis kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan.

Suspek ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam di kawasan kuarters pekerja ladang di kampung sama hasil tindakan pantas polis menerusi operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak bernyawa di kediamannya kira-kira jam 6.15 petang semalam.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian leher yang dipercayai akibat dikelar menggunakan senjata tajam.

Lelaki warga asing yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan warga emas di Kampung Gading, Ulu Bongawan, diberkas polis untuk membantu siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan hutang pembelian barangan runcit antara suspek dengan mangsa.

“Bagaimanapun, motif sebenar pembunuhan masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Heryan berkata, suspek berjaya dikesan dan ditahan hasil risikan serta kerjasama pasukan polis dari kedua-dua jabatan berkenaan.

Menurutnya, beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian turut dirampas untuk pemeriksaan dan analisis forensik.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok bagi membantu siasatan lanjut.

“Polis memandang serius sebarang bentuk jenayah kekerasan dan akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, profesional serta berlandaskan peruntukan undang-undang,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Papar atau mana-mana balai polis berhampiran.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *