Warga Emas Maut Dirempuh Ketika Melintas Jalan Di Penampang

Pihak polis menjalankan siasatan di lokasi kemalangan.

PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas berusia 81 tahun maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas Jalan Penampang-Kota Kinabalu berhampiran Penampang Baru, di sini, petang Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa yang juga warga asing mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta dipandu lelaki tempatan berusia 66 tahun dengan mangsa yang dipercayai sedang melintas jalan.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan media.

Sammy berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan peka terhadap keadaan persekitaran bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *