
KOTA KINABALU: Pendaki gunung warga Croatia, Mauro Persic, dikenakan kompaun maksimum RM25,000 kerana menceroboh Gunung Kinabalu.
Dilaporkan, lelaki berusia 46 tahun itu sudah menjelaskan bayaran kompaun berkenaan selepas anggota penguat kuasa Taman Sabah memberi taklimat mengenai kesalahan serta peruntukan dan hukuman di bawah Enakmen Taman 1984 (Pindaan 2024).
Prosedur itu dijalankan di Pusat Kawalan Operasi Pejabat Operasi dan Penguatkuasaan di Ibu Pejabat Taman Sabah di sini.
Beliau dibebaskan selepas menjelaskan bayaran kompaun sepenuhnya dan semua urusan berkaitan kes itu selesai.
“Taman Sabah juga memaklumkan perkembangan itu kepada polis Ranau untuk tujuan rekod dan tindakan lanjut,” kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin seperti yang dipetik dalam laporan berita.
Awal bulan ini, Persic memasuki Gunung Kinabalu melalui Sungai Mesilou menggunakan laluan tidak sah tanpa permit sebelum terjatuh serta mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan rusuk.
Selepas memaklumkan pihak berkuasa, lebih 40 anggota daripada pelbagai agensi terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat selama lima hari.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah