Penunggang Motosikal Maut Bertembung Lori di Jalan Kunak-Lahad Datu

Motosikal mangsa remuk selepas bertembung dengan lori berkenaan di Kilometer 6, Jalan Kunak-Lahad Datu, Kunak.

KUNAK: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 6, Jalan Kunak-Lahad Datu, di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Mangsa berusia 50 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintenden Rejali Ak Angong, berkata kemalangan berlaku ketika lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 20-an dari arah Lahad Datu menghala ke Kunak.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa secara tiba-tiba keluar dari simpang di sebelah kanan arah perjalanan lori berkenaan.

“Disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu lori tidak sempat mengelak sebelum berlaku perlanggaran.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rejali berkata, pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, terutama ketika keluar dari simpang, selain memastikan keadaan lalu lintas dan jarak selamat sebelum meneruskan perjalanan.

“Pengguna jalan raya juga diminta lebih bertimbang rasa ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *