Lelaki Tempatan Ditahan Bawa 5.09 Gram Syabu Di Kota Belud

Bekalan syabu yang dirampas semasa penahanan suspek.

KOTA BELUD: Seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan selepas disyaki membawa dadah jenis syabu seberat 5.09 gram di Kampung Pintasan, di sini.

Suspek ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Belud dalam Op Tapis Dadah kira-kira jam 2 petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, penahanan suspek dibuat selepas anggota polis mengesan gerak-gerinya yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan kemudian menemukan bahan disyaki syabu dalam simpanan suspek dengan anggaran RM509.

“Ujian saringan awal terhadap bahan berkenaan menunjukkan keputusan positif methamphetamine,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Khairul Shah berkata, semakan awal mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Katanya, polis kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah berkenaan.

“Siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan pembabitan individu lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah bagi membantu usaha membanteras kegiatan berkenaan,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *