Suami Isteri Ditahan, 254KG Syabu Dirampas di Semporna

DADAH: Jauteh (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua operasi di Semporna dan Tawau menerusi Op Bayu.

SEMPORNA: Taktik sindiket dadah antarabangsa menyembunyikan lebih 254 kilogram (kg) syabu di dalam 24 beg pakaian gagal apabila sepasang suami isteri diberkas polis dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di daerah ini, bulan lalu.

Dalam operasi kira-kira jam 4 pagi pada 13 Julai itu, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan IPD Kunak menyerbu lokasi berkenaan hasil risikan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pemeriksaan terhadap sebuah van Toyota Hiace membawa kepada penemuan 24 beg pakaian yang mengandungi 254.35kg syabu.

“Susulan serbuan itu, dua individu yang juga pasangan suami isteri ditahan, manakala seorang lagi suspek sedang dikesan bagi membantu siasatan.

“Rampasan syabu itu dianggarkan boleh menampung sehingga 726,714 kali penggunaan,” katanya pada sidang media di Dewan Serbaguna IPD Semporna.

Menurutnya, siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa dan dirancang untuk diseludup keluar dari Sabah.

“Hasil soal siasat mendapati bekalan dadah itu disyaki dibawa masuk ke Sabah melalui laluan sempadan Sipitang sebelum diedarkan.

“Kita juga percaya bekalan ini mempunyai kaitan dengan kawasan Segi Tiga Emas yang membabitkan Myanmar, Thailand dan Laos,” katanya.

Dalam operasi berasingan di Tawau pada 12 Julai lalu, polis turut menumpaskan satu lagi cubaan pengedaran dadah apabila merampas 74.886kg dadah yang disembunyikan di dalam sebuah Proton Saga di Jalan Tun Hamdan.

Jauteh berkata, operasi kira-kira jam 10.30 malam itu dijalankan hasil risikan JSJN Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau dan IPD Kunak.

“Pemeriksaan menemui empat beg mengandungi dadah, iaitu tiga beg sukan golf dan sebuah beg hitam.

“Empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 40 tahun turut ditahan,” katanya.

Beliau berkata, dua daripada suspek adalah warga tempatan manakala dua lagi bukan warganegara.

“Kesemua mereka bekerja sendiri atau tidak mempunyai pekerjaan, tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing didapati negatif dadah,” katanya.

Jauteh berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah daripada kedua-dua operasi itu dianggarkan hampir RM18 juta dan dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian penyeludupan dadah antarabangsa.

Beliau berkata, kejayaan itu hasil risikan berterusan JSJN Sabah serta maklumat yang disalurkan orang awam.

“Kita amat mengharapkan kerjasama masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat bagi membantu PDRM membanteras aktiviti penyeludupan dadah,” katanya.

Sumber: SayangSabah

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *