
TAWAU: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah diberkas bersama lebih 50 gram syabu, manakala 30 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan dalam Operasi Tapis Bersepadu Bilangan 1/2026 di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, di sini.
Operasi selama dua hari bermula 7 hingga 8 Julai itu turut membawa kepada penahanan 31 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan ketum.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, operasi bersepadu berkenaan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa.
Katanya, seramai 169 pegawai, anggota dan petugas daripada IPD Tawau, IPD Semporna, IPD Kunak, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terbabit dalam operasi itu.
“Hasil operasi, polis menahan seorang suspek mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki mengedar dadah dan merampas 50.35 gram syabu.
“Seorang lagi individu ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas memiliki 0.24 gram syabu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis turut menahan seorang suspek mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 selepas merampas sembilan liter cecair ketum dan 2,351.65 gram serbuk ketum.
Selain itu, katanya, 28 individu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki menyalahgunakan dadah.
“Seramai 36 individu menjalani ujian saringan air kencing dan daripada jumlah itu, 28 didapati positif dadah manakala lapan lagi negatif,” katanya.
Menurutnya, operasi sama turut seramai 30 individu diambil tindakan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Tawau kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah undang-undang imigresen.
Dalam pada itu, JPJ Tawau mengeluarkan 66 saman dan notis atas pelbagai kesalahan lalu lintas yang dikesan sepanjang operasi dijalankan.
Wilynton berkata, polis akan terus memperhebat operasi bersepadu serta tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah selain meningkatkan pematuhan undang-undang demi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam di daerah ini.
Beliau turut menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras jenayah dan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah