Polis Tahan 18 Lelaki Susulan Dua Pergaduhan di Kampung Air

Pergaduhan yang berlaku di Kampung Air di sini.

KOTA KINABALU: Polis menahan 18 lelaki bagi membantu siasatan berhubung dua kejadian pergaduhan yang berlaku di Kampung Air, awal pagi Khamis.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 4 pagi, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an cedera di bahagian betis kanan selepas dipercayai ditikam menggunakan objek tajam yang disyaki duri pari ketika berada di sebuah premis makanan di kawasan berkenaan.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu sebelum bertukar menjadi pergaduhan.

Katanya, mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan dipercayai diserang oleh beberapa suspek sehingga mengalami kecederaan.

“Kira-kira sejam kemudian, satu lagi pergaduhan dilaporkan berlaku di lokasi sama yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian terdahulu.

“Dalam kejadian kedua, seorang lelaki mengalami kecederaan lebam pada bahagian hidung akibat dipukul,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, bertindak dengan maklumat dan risikan yang dijalankan, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya menahan 18 lelaki bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan termasuk sebatang hulu senjata dan satu sarung yang disyaki digunakan untuk menyimpan senjata tajam.

“Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek mendapati mereka negatif daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.

Syed Lot berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya.

Katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Movendran Apoorvasamy.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan ketenteraman awam.

“Polis memandang serius sebarang perbuatan keganasan dan pergaduhan yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *