
KUALA LUMPUR: Bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 63, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu terhadap pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM45 juta.
Mahkamah bagaimanapun membebaskan isterinya, Fauziah Piut, 61, dan bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 72.
Mereka didakwa pada 28 Disember 2016 dengan ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah.
Kes rasuah terbesar Sabah
Kes ini menarik perhatian kerana sudah berlangsung selama hampir sedekad. Ia adalah kes pengubahan wang haram terbesar di Sabah.
Kes itu menjadi tajuk utama pada 2016 apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan antara rampasan terbesar pernah direkodkan di Sabah membabitkan barangan berharga dan wang tunai berpuluh-juta ringgit.
Imej timbunan wang tunai dalam bilik dan bertaburan atas lantai yang tersebar meluas di media tempatan ketika itu menjadikan siasatan berkenaan antara skandal rasuah paling mendapat perhatian di negara ini.
Selepas beberapa siri penangguhan, perbicaraan bermula pada 7 Mei 2018 dengan pihak pendakwaan memanggil 46 saksi di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat.
Pihak pembelaan kemudian memanggil 15 saksi termasuk beberapa individu yang pada awalnya ditawarkan pihak pendakwaan seperti bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan bekas menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.
Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili peguam Ansari Abdullah, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Fadzidahtul Ardianah, Rasrina Patrick T Rining dan Noorsyazwani Sapri, manakala Lam Beng pula diwakili peguam Tan Hock Chuan, Baldev Singh serta Kelvin Wong.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah