
KOTA KINABALU: Satu kejadian tetak menggunakan senjata tajam jenis pedang samurai oleh seorang lelaki dilaporkan berlaku di kawasan Kampung Sembulan di sini malam tadi.
Dipercayai dua individu mengalami kecederaan parah akibat ditetak menggunakan senjata terbabit dalam serangan itu.
Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku kira-kira jam 8.28 malam yang menyaksikan suspek menghayun pedang samurai terbabit ke kiri dan kanan ketika menyerang mangsa di lokasi kejadian.
Akibat dari serangan itu, kedua-dua mangsa lelaki itu mengalami kecederaan serius termasuk luka di tangan dan cedera di bahagian leher.
Kedua-dua mangsa segera dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) I untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, suspek melarikan diri sejurus selepas kejadian itu dan polis giat menjalankan siasatan serta mengesan individu berkenaan.
Dalam pada itu, sumber memaklumkan beberapa saksi termasuk kanak-kanak yang berada di lokasi kejadian dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan polis.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah