
RANAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah kereta sebelum terperosok di bawah lori dalam kemalangan di Jalan Ranau-Kota Belud, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dipandu seorang wanita memotong di garisan berkembar.
Katanya, ketika memotong, kereta terbabit bergesel dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan sebelum mangsa hilang kawalan.
“Mangsa kemudian terbabas dan terperosok di bawah sebuah lori yang berada di laluan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemandu kereta dan pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu kereta yang memotong di garisan berkembar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu serta tidak melakukan tindakan berisiko seperti memotong di garisan berkembar yang boleh mengundang bahaya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah