31 PTI Ditahan Dalam Operasi Imigresen di Kundasang

Antara PTI yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan di Kundasang.

RANAU: Seramai 31 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di empat lokasi berbeza sekitar Kundasang, Ranau, baru-baru ini.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi itu dijalankan bagi membanteras kehadiran warga asing tanpa dokumen sah di negeri ini.

Katanya, seramai 18 pegawai dari Pejabat Imigresen Daerah Ranau dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) daerah terbabit terbabit dalam operasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan terhadap 78 individu, seramai 31 PTI berjaya ditahan terdiri daripada 16 lelaki dewasa, 10 wanita dewasa serta lima kanak-kanak.

“Kesemua warga asing yang ditahan adalah terdiri daripada warganegara Indonesia dan Filipina,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, semua individu terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 36 akta sama.

Katanya, kesemua tahanan dibawa ke depot imigresen untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Sitti Saleha menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau majikan yang melindungi atau menggaji PTI.

Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *