
KOTA KINABALU, 6 Jan 2026 : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan melaksanakan tindakan pengosongan dan perobohan terhadap struktur tidak sah di kawasan Sembulan bermula awal Januari ini.
Tindakan itu melibatkan bangunan tanpa kelulusan, struktur usang dan tidak selamat serta premis yang telah tamat tempoh pajakan, susulan pemeriksaan mendapati kawasan berkenaan berada dalam keadaan kotor, tidak teratur dan berisiko tinggi terhadap keselamatan serta kesihatan awam, termasuk penularan wabak denggi.
DBKK memaklumkan, bancian mendapati terdapat 159 ketua isi rumah bukan warganegara tinggal di kawasan terbabit, kebanyakannya memegang dokumen tidak sah, selain menerima banyak aduan penduduk berkaitan isu keselamatan dan kebersihan.
Operasi ini merupakan sebahagian daripada Projek Pembaharuan Bandar (Sembulan Renewal Scheme) bagi mewujudkan persekitaran yang lebih moden, selamat dan berdaya huni.
Notis pengosongan dan perobohan telah dikeluarkan antara 18 hingga 22 Disember lalu, dengan tempoh munasabah diberikan untuk pengosongan secara sukarela.
DBKK memberi amaran tindakan tegas termasuk kompaun, pendakwaan dan perobohan segera akan diambil terhadap pihak yang ingkar atau menduduki semula kawasan tanpa kelulusan.
Operasi ini akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama PDRM, Jabatan Bomba, Jabatan Imigresen, MKN dan agensi berkaitan.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah