Lelaki Maut, Putus Pergelangan Tangan Akibat Renjatan Elektrik Ketika Mengecat Rumah di Likas

Mangsa terjatuh dan disahkan meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik ketika sedang mengecat rumah di Kampung Likas, di sini, pagi tadi.

Mangsa yang berusia 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan terbakar sehingga putus pergelangan tangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.03 pagi.

Menurutnya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) segera dikerahkan ke lokasi.

“Insiden melibatkan seorang lelaki yang dilaporkan terkena renjatan elektrik semasa menjalankan kerja-kerja mengecat rumah.

“Mangsa terbakar dan putus pergelangan tangan telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Agustavia berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pasukan bomba turut melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.10 pagi,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *