Operasi Imigresen Tahan 21 Pendatang Tanpa Izin Di Tawau

Antara PTI yang ditahan dalam operasi Imigresen di daerah Tawau.

TAWAU: Seramai 21 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah di sekitar daerah ini, semalam.

Operasi hasil maklumat serta aduan awam itu dilaksanakan di beberapa lokasi berasingan dan membabitkan sembilan pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM Tawau.

Menurut kenyataan JIM Sabah, hasil pemeriksaan terhadap 88 individu mendapati 21 daripadanya disyaki melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Daripada jumlah yang ditahan, mereka terdiri daripada warganegara Filipina dan Indonesia yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah.

“Kesemua individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen sah serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya

JIM Sabah menegaskan pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melindungi atau menggaji PTI, selaras dengan usaha membanteras kehadiran warga asing tanpa izin di negeri ini.

“Tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya kesalahan yang melibatkan isu keselamatan,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai digesa supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PTI di kawasan masing-masing bagi membantu pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan secara berkesan.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *