
TAWAU, 25 Disember 2025 : Sepasukan polis dari Balai Polis Tawau berjaya menahan tiga lelaki disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian sabung ayam menerusi satu serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Sin Onn Tiku, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata tangkapan ke atas ketiga-tiga suspek warga asing berusia antara 39 hingga 60 tahun itu dibuat selepas pihak polis menerima maklumat awam mengenai kegiatan sabung ayam di kawasan berkenaan.
“Serbuan dijalankan hasil risikan dan maklumat awam sebelum ketiga-tiga suspek berjaya diberkas di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihak polis turut merampas seekor ayam milik salah seorang suspek yang dipercayai digunakan bagi tujuan sabung ayam.
Kesemua suspek dan barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah