Polis Tahan Wanita Milik Syabu Dalam Serbuan Sebuah Hotel di Lahad Datu

Suspek seorang wanita ditahan bersama syabu di sebuah hotel dalam serbuan berkenaan.

LAHAD DATU: Seorang wanita tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu operasi polis di sebuah hotel di Jalan Seroja, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 10.50 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bertindak hasil maklumat awam menerusi Op Tapis.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya berjaya menahan seorang wanita berusia 37 tahun di dalam sebuah bilik hotel.

Katanya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu serta sebatang straw yang diubah suai.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana mengambil dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dzulbaharin berkata, semakan rekod lampau turut mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut, manakala polis menegaskan komitmen berterusan IPD Lahad Datu dalam membanteras jenayah dadah di daerah ini,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *