
KOTA MARUDU : Dua individu dilaporkan cedera parah dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan di Kampung Mangaris 3, di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, Debli Mamoi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.23 petang sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai.
Menurutnya, kemalangan berkenaan melibatkan dua buah kereta dengan dua mangsa, masing-masing seorang lelaki berusia 33 tahun dan seorang wanita berusia 44 tahun, mengalami kecederaan parah namun tidak tersepit.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.39 petang dan bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa dari salah sebuah kenderaan menggunakan peralatan khas iaitu scoop stretcher,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Kota Marudu menggunakan ambulans KKM bagi rawatan lanjut.
Dalam kejadian sama, dua lagi mangsa yang menaiki sebuah kenderaan lain dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.54 petang selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat dan tidak mendatangkan sebarang bahaya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah