Dua Warga Asing Ditahan Terlibat Judi Sabung Ayam di Tawau

Dua warga asing disyaki terlibat judi sabung ayam berjaya ditahan dalam operasi berkenaan.

TAWAU : Dua lelaki warga asing ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian sabung ayam di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Kinabutan Tiku, di sini, semalam.

Tangkapan dibuat dalam satu serbuan menerusi Operasi Dadu yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau, hasil maklumat awam berhubung aktiviti perjudian haram di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek berusia antara 55 hingga 66 tahun ditahan ketika serbuan dilakukan.

“Dalam operasi itu, polis turut merampas empat ekor ayam sabung, terdiri daripada dua ekor masih hidup dan dua ekor telah mati, dipercayai digunakan dalam kegiatan sabung ayam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut, manakala pihak polis sedang mengesan individu lain yang dipercayai turut terlibat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 serta Seksyen 16(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Jasmin menegaskan polis akan terus mempergiatkan operasi dan tindakan tegas terhadap sebarang bentuk perjudian haram, termasuk sabung ayam dan judi dadu, demi menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *