
KOTA KINABALU: Cubaan empat lelaki menghalang tugas pihak polis membawa padah selepas kesemua individu terbabit ditahan di Telipok di sini.
Insiden tegang itu tercetus pada petang Isnin selepas keempat-empat individu terbabit bertindak menghalang polis daripada menahan seorang suspek berumur lingkungan 30 tahun yang terlibat kes pukul membabitkan sekumpulan pelajar sebuah madrasah susulan penularan video di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.45 petang 15 Disember.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika sepasukan pegawai dan anggota polis menjalankan tugas untuk menangkap serta membawa seorang suspek bagi membantu siasatan kes kecederaan dan penderaan kanak-kanak yang dilaporkan sebelum ini.
“Siasatan awal mendapati beberapa individu bertindak agresif dengan menghalang pergerakan kenderaan polis dan mengeluarkan kata-kata kesat.
“Mereka juga cuba membuka pintu kenderaan, selain menendang dan memukul kenderaan pasukan sehingga menjejaskan tugasan anggota bertugas,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, tindakan itu mencetuskan kekecohan di lokasi dan memaksa polis mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan serta kelancaran operasi.
“Susulan insiden berkenaan, polis menahan empat lelaki tempatan berusia sekitar 30 hingga 50-an yang juga dipercayai ahli keluarga suspek untuk membantu siasatan lanjut.
“Dalam operasi sama, polis turut merampas sebatang besi golf yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Permohonan reman akan dibuat terhadap semua suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan piha polis juga akan menjalankan ujian saringan air kencing serta merakam percakapan saksi-saksi kejadian.
“Orang awam diminta bertenang dan tidak bertindak mengikut emosi ketika berhadapan dengan tindakan penguatkuasaan.
“Sebarang ketidakpuasan hati perlu disalurkan melalui saluran undang-undang yang sah bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengganggu keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang demi menjaga kepentingan semua pihak.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah