JIM Sabah Hantar Pulang 699 PTI Filipina Ke Negara Asal

Semua PTI terbabit dihantar pulang melalui jalan laut.

SANDAKAN: Seramai 699 pendatang tanpa izin (PTI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Program Pemindahan Tahanan Siri 20/2025 yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, kelmarin.

Kesemua tahanan terdiri daripada 430 lelaki, 128 perempuan, 119 kanak-kanak berusia antara dua hingga 12 tahun serta 22 bayi berusia bawah 23 bulan.

Mereka dibawa keluar melalui Pelabuhan Sandakan menuju ke Zamboanga City menggunakan kapal MV Antonia 1.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata tahanan berkenaan dipindahkan dari tiga depot iaitu Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan dengan purata usia paling muda empat hari dan tertua 77 tahun.

Beliau berkata, semua kanak-kanak dihantar pulang bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing, manakala setiap tahanan memiliki dokumen perjalanan yang sah selepas menjalani hukuman mengikut undang-undang.

“Setakat ini, JIM Sabah sudah memindahkan 9,804 warga asing ke negara asal melalui laluan laut dan udara sepanjang tahun ini.

“Ia melibatkan 7,635 warga Filipina, 1,757 warga Indonesia, 252 Pakistan, 84 China, 39 Vietnam, 10 India, tiga Thailand dan 24 dari negara lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sitti Saleha menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan majikan yang melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.

“Majikan boleh dikenakan tindakan termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama pihak kedutaan dalam mempercepatkan pengeluaran ‘Travel Document’ bagi mengelakkan tahanan berada lebih lama di depot.

“Proses pemindahan bergantung kepada tindakan segera pihak kedutaan. Kelewatan TD hanya akan memanjangkan tempoh tahanan berada di depot,” katanya.

Menurutnya, usaha penghantaran pulang PTI akan terus diperhebat dari semasa ke semasa bagi memastikan isu kemasukan tidak sah di Sabah dapat ditangani secara menyeluruh dan berkesan.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *