
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membatalkan keputusan koroner yang sebelum ini membenarkan peguam mewakili lima remaja, yang didakwa terbabit dalam kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir, menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kematian pelajar berkenaan.
Hakim Datuk Duncan Sikodol berkata permohonan itu bagaimanapun boleh dikemukakan semula di hadapan koroner baharu yang akan mengendalikan inkues bermula esok.
“Apa-apa perintah yang dibuat berhubung permohonan dalam inkues tersebut diketepikan. Pihak-pihak terbabit bebas untuk mengemukakan semula permohonan mereka di hadapan Koroner baharu,” katanya.
Beliau menjelaskan, koroner terdahulu tidak wajar membuat keputusan substantif kerana kemudiannya menarik diri atas alasan mempunyai kepentingan peribadi.
“Jika tidak, ia seolah-olah membuat keputusan bagi pihak koroner baharu dan menjejaskan prinsip ketidakberpihakan,” katanya.
Mahkamah turut menolak bantahan awal Timbalan Pendakwa Raya (TPR) terhadap locus standi Persatuan Guaman Sabah (SLS) yang hanya hadir sebagai pemerhati.
Duncan berkata, Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi menyemak keputusan mahkamah bawahan, termasuk atas inisiatif sendiri, terutama melibatkan kepentingan awam.
Terdahulu, pasukan pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri, Nahra Dollah berhujah bahawa SLS tidak berhak memohon semakan kerana statusnya hanya pemerhati.
SLS bagaimanapun menegaskan, isu undang-undang yang dibangkitkan penting, termasuk sama ada koroner silap membenarkan peguam remaja tertuduh diterima sebagai pihak berkepentingan, serta sama ada keputusan itu kekal sah selepas beliau menarik diri kerana konflik kepentingan.
Permohonan semakan difailkan secara berasingan oleh SLS yang diketuai presidennya Datuk Mohamed Nazim Maduarin bersama pasukan peguamnya, serta keluarga Zara yang diwakili Shahlan Jufri dan rakan-rakan peguam.
SumbeR: Belutin TV3
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah