“Saksi Yang Masih Ada Tolong Keluar” – Peguam Keluarga Zara Qairina

Peguam yang mewakili keluarga arwah Zara Qairina, Hamid Ismail (tengah) yang bertindak sebagai pemerhati mengadakan sidang media selepas prosiding kes selesai di luar Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, sebentar tadi.

KOTA KINABALU: Pasukan peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan berhubung pendakwaan lima remaja berkaitan perbuatan buli di Mahkamah Kanak-Kanak, di sini, hari ini.

Peguam Hamid Ismail, berkata kenyataan AGC perlu berikutan adanya perintah larangan yang dikeluarkan mahkamah bagi menghalang sebarang maklumat dalam prosiding berkenaan didedahkan kepada umum.

Katanya, pihaknya juga tidak boleh berkongsi apa yang berlaku dalam mahkamah berikutan larangan berkenaan bagi mengelak ‘contempt of court’.

Beliau menjelaskan larangan itu bukan untuk menyembunyikan sesuatu atau melindungi orang kenamaan (VIP), sebaliknya disebabkan peruntukan undang-undang.

“Banyak perkara yang tidak boleh didedahkan mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak, apa saja tidak boleh didedahkan termasuk sepanjang siasatan atau prosiding di mahkamah.

“Ia bukan sebab VIP atau ada perkara yang disembunyikan, ia disebabkan undang-undang yang melarang.

“Jadi kita berharap pihak AGC dapat memberikan kenyataan berhubung perkara ini,” katanya ditemui media di luar mahkamah.

Hamid turut meminta maaf kerana tidak boleh mendedahkan apa-apa yang berlaku dalam prosiding mahkamah hari ini.

“Kami tidak boleh bercakap apa yang berlaku di dalam kerana ada perintah ‘gag’. Jadi, kami mohon maaf.

“Kalau perkara lain, kami boleh jawab, tapi untuk yang prosedur hari ini, kami tidak dibenarkan. Kerana wujudnya Seksyen 15 dan juga ada perintah ‘gag’,” katanya.

SumbeR: Berita Harian

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *