40 PTI Ditahan Dalam Operasi Imigresen di Semporna dan Kunak

Sebahagian PTI yang ditahan dalam Operasi berkenaan.

SEMPORNA :Seramai 40 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di lima penempatan sekitar daerah ini dan Kunak, awal pagi kelmarin.

Operasi bermula kira-kira jam 12 tengah malam itu disertai 40 pegawai dan anggota penguatkuasa daripada Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu bersama unit penguatkuasaan Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Semporna.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata operasi itu dilaksanakan hasil risikan selama seminggu selain aduan awam berhubung kehadiran warga asing di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas 73 individu, seramai 40 PTI ditahan membabitkan 19 lelaki, empat wanita, 11 kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Pakistan, Filipina dan Indonesia.

“Semua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Semporna untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

Beliau berkata, pihaknya akan terus melaksanakan operasi berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan memindahkan warga asing yang melanggar undang-undang negara, termasuk di bawah Akta Pasport 1966 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Setakat ini, sebanyak 19,252 individu sudah diperiksa, dengan 3,902 orang ditahan dan seramai 6,521 PTI dipindahkan ke negara asal masing-masing,” katanya.

Sitti Saleha turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat mengenai keberadaan PTI atau majikan yang menggaji pekerja asing secara tidak sah kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras isu itu.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *