
LAHAD DATU: Seorang lelaki tempatan yang juga pakcik kepada mangsa ditahan selepas disyaki mencabul anak saudaranya sejak mangsa berusia 10 tahun.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang mendakwa dicabul suspek, iaitu adik kepada ibunya.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa mendakwa telah menjadi mangsa cabul suspek ketika berada di kawasan perumahan sebuah ladang di sini.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Lahad Datu segera menjalankan operasi tangkapan.
“Suspek berusia 36 tahun itu berjaya ditahan di sebuah kampung kira-kira jam 10.40 malam tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis akan membuat permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Lahad Datu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dzulbaharin turut menegaskan pihaknya memandang serius jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan remaja, selain menyeru masyarakat segera menyalurkan maklumat kepada polis bagi membanteras kes seumpama itu.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah