Cubaan Seludup 2 Kilogram Syabu Gagal, Lelaki Warga Asing Ditahan di Tawau

Jasmin (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang berjaya dirampas.

TAWAU : Cubaan seorang lelaki warga asing untuk menyeludup keluar dadah jenis syabu bernilai lebih RM74,000 ke negara asalnya gagal apabila ditahan polis dalam serbuan di Jalan Pelabuhan, di sini, Jumaat lalu.

Suspek berusia 22 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 9.30 pagi hasil risikan dan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan dalam keadaan mencurigakan sambil membawa beg galas hitam jenama ‘Camel Mountain’.

“Pemeriksaan terhadap beg tersebut menemui dua bungkusan plastik keemasan, masing-masing mengandungi paket lutsinar berisi hablur jernih disyaki syabu seberat 2,062 gram dengan anggaran nilai pasaran RM74,500,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambahnya, suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan dipercayai menyusup masuk ke Malaysia melalui laluan tidak sah pada 21 Julai lalu.

“Suspek dipercayai datang ke Tawau untuk mengambil bekalan dadah dan membawanya pulang ke Sulawesi Tengah, Indonesia melalui jalan tikus. Dia mengaku diupah oleh individu tertentu dengan bayaran kira-kira 15 juta Rupiah (lebih RM3,000),” katanya.

Hasil siasatan turut mendapati ini adalah kali pertama suspek masuk ke Malaysia dan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap di negara asal. Ujian air kencing mendapati suspek bebas dari pengaruh dadah. Dia kini ditahan reman selama tujuh hari hingga 1 Ogos.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Jasmin turut mendedahkan bahawa sindiket pengedaran dadah antarabangsa menjadikan daerah Tawau sebagai lokasi transit sebelum menyeludup dadah ke negara jiran.

“Setakat tahun ini, lebih 30 kilogram dadah berjaya dirampas di daerah ini. Polis akan terus bertindak agresif membanteras jenayah ini dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu usaha kami,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *