
LAHAD DATU : Dua lelaki termasuk seorang warga emas berusia 68 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu menerusi Op Tapis, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, warga emas yang juga seorang pengawal keselamatan ditahan di Kampung Puyut sekitar jam 2.30 petang, selepas didapati memiliki syabu seberat 0.28 gram dan positif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sebelum itu, seorang lagi lelaki warga asing berusia 37 tahun turut ditahan di kawasan Reno Fajar sekitar jam 12 tengah hari kerana memiliki syabu seberat 5.84 gram dan turut positif dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) akta sama.
Kedua-dua suspek kini ditahan di IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Lahad Datu.
Menurut Dzulbaharin, operasi ini menunjukkan komitmen berterusan polis dalam memerangi penyalahgunaan dan pengedaran dadah, dan beliau menyeru orang awam agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah