
KOTA KINABALU: Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes kematian Zara Qairina, pelajar tingkatan satu sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di Papar.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Justeru katanya, orang ramai diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan sementara menunggu hasil siasatan lanjut.
“PDRM Kontinjen Sabah juga akan menjalankan siasatan menyeluruh secara telus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jauteh berkata, Zara Qairina meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah terbabit dan kini kes mangsa dalam siasatan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka menjelaskan, pihak polis menerima satu laporan kira-kira jam 8.16 pagi pada 16 Julai 2025 berkaitan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun yang menghuni di asrama ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, mangsa ketika ditemui berada di dalam longkang berhampiran asrama kira-kira jam 4 pagi.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk mendapatkan rawatan lanjut, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 tengah hari pada 17 Julai 2025.
Pihaknya juga meminta orang awam supaya menghormati privasi dan perasaan ahli keluarga mangsa yang masih berduka dengan kejadian yang berlaku.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di talian 088-912222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah