Lelaki Ditahan Miliki Senjata Api Tanpa Lesen di Kalabakan

Suspek ditahan bersama senjata dan peluru untuk siasatan lanjut.

TAWAU : Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan polis selepas disyaki memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen dalam satu serbuan di kawasan semak berhampiran rumahnya di Kalabakan, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan ketika menjalankan rondaan Ronda Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di kawasan semak berhampiran rumah suspek telah membawa kepada penemuan satu laras senapang patah jenis bakakuk, satu senapang angin buatan sendiri, dua batang paip besi, satu rangka senjata api tidak lengkap serta tiga butir peluru pelbagai jenis.

“Kesemua barangan berbahaya itu disembunyikan dalam kain hitam dan ditanam di dalam semak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek telah dibawa ke Balai Polis Kalabakan sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Superintendan Champin menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memiliki atau menyimpan senjata api secara haram kerana ia membabitkan ancaman terhadap keselamatan awam.

Beliau turut menggesa orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah, termasuk pemilikan senjata api secara haram, bagi membantu pihak polis mengambil tindakan segera.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *