Mayat Remaja Lelaki Ditemukan Terapung Di Sungai Padas

Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung di Sungai Padas berhampiran Kampung Saliwangan Lama di sini.

BEAUFORT: Mayat lelaki ditemukan dalam keadaan terapung di Sungai Padas berhampiran Kampung Saliwangan Lama, Batu 64½, di sini pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, mangsa berumur 15 tahun itu ditemukan orang awam sekitar jam 11.03 pagi sebelum kejadian dimaklumkan kepada pihak polis.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa kali terakhir dilihat pada 15 Julai lalu di rumahnya dan memakai pakaian yang sama seperti mayat yang ditemukan.

“Menurut ahli keluarga, mangsa kerap keluar rumah tanpa memberitahu dan sering ke sungai untuk memancing atau ke hutan.

“Malah, perahu milik mangsa turut ditemukan dalam keadaan terbalik sehari sebelum mayatnya ditemukan, namun tidak menimbulkan syak kerana kejadian perahu hanyut adalah perkara biasa di kawasan ini,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, siasatan awal pihak polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah atau kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

“Mayat dibawa ke Hospital Beaufort sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) buat masa ini,” katanya.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort turut berada di lokasi bagi membantu mengangkat mayat mangsa dari sungai.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *