Mayat Mangsa Serangan Buaya Buaya Di Sandakan Ditemukan

Mayat mangsa serangan buaya yang ditemukan di Sungai Taman Kenari diserahkan kepada pihak polis.

SANDAKAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika merambat ikan di Sungai Taman Kenari, di sini, semalam, ditemukan meninggal dunia petang tadi.

Mangsa berusia lingkungan 30-an, ditemukan pasukan penyelamat pada jam 2.14 petang kira-kira satu kilometer dari lokasi bot miliknya dijumpai semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 8.50 pagi sebelum menggerakkan lima anggota ke lokasi kejadian.

“Sebaik menerima maklumat, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bersama agensi lain termasuk PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Hidupan Liar, Pasukan Polis Marin (PPM) serta dibantu oleh orang awam.

“Mayat mangsa ditemukan di kawasan sungai, kira-kira satu kilometer dari lokasi perahunya yang ditemukan penduduk kampung semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa dipercayai turun ke sungai berkenaan sekitar jam 6 petang semalam untuk merambat ikan, namun gagal pulang ke rumah sehingga mencetuskan kebimbangan keluarga dan penduduk kampung.

Katanya, bot mangsa ditemukan oleh penduduk kira-kira jam 6 petang dalam keadaan mencurigakan dengan kesan gigitan buaya di bahagian sisinya.

“Lokasi kejadian memang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi kerana pernah berlaku beberapa kes serangan buaya sebelum ini, termasuk insiden terakhir pada September 2022,” katanya.

Jimmy berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak polis dan mayatnya dibawa ke Hospital Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.40 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya di kawasan kejadian,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *