
LAHAD DATU :Dua lelaki warga asing ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Tapis yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, tangkapan pertama dilakukan sekitar jam 11 pagi di Jalan Reno Fajar melibatkan seorang lelaki berusia 23 tahun.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.34 gram, bersama satu gulung kertas timah.
“Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, serbuan kedua dijalankan pada jam 4.30 petang di Kampung Puyut dan membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga asing berusia 21 tahun.
“Dalam serbuan itu, polis menjumpai satu paket plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 0.18 gram serta satu gulung kertas timah.
“Bagaimanapun, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek kedua didapati negatif,” katanya.
Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis akan terus memperhebatkan operasi seumpamanya di kawasan berisiko tinggi bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini,” tambah Dzulbaharin.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah