
KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi serbuan di sebuah stor di Jalan Nountun, Inanam, di sini.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim, berkata operasi yang dijalankan kira-kira jam 2.30 petang itu turut menahan lima lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 67 tahun ketika sedang memindahkan minyak diesel dari tangki skid ke dalam lori.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di lokasi menemukan sebanyak 13,500 liter minyak diesel yang disyaki cuba diseleweng.
“Semua suspek yang ditahan gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkaitan pemilikan atau pemindahan bahan api terbabit.
“Turut dirampas dalam serbuan itu ialah beberapa buah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyelewengan ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk minyak diesel dan kenderaan dianggarkan berjumlah RM503,245.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua tangkapan serta barang rampasan dibawa ke Markas Taktikal PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
“PPM akan terus komited dalam membanteras sebarang bentuk aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja merugikan negara malah mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
“Kerjasama orang awam amat dialu-alukan dalam menyalurkan maklumat berhubung kegiatan mencurigakan membabitkan bahan kawalan dan bersubsidi di sekitar kawasan masing-masing,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah