PRN-17 Sabah: Jangan Ada Pihak Rasa Partinya Adalah Dominan – Zahid

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan mana-mana parti politik supaya bekerjasama dan bergabung dengan parti lain dalam membentuk sebuah kerajaan, termasuk di Sabah.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perkara itu adalah trend global dan lumrah di mana-mana negara, termasuk kedudukan BN dalam kerajaan ketika ini.

“Ini lumrah juga di negara lain. Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) juga tidak ada sebuah parti dominan. Biarlah UMNO parti terbesar, tapi tak banyak menang kerusi kecil pun kita telah beri sumbangan.

“Saya nampak trend sama berlaku di Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17). Jangan mana-mana pihak terlalu besar hati untuk merasakan bahawa partinya itu dominan dan tidak memerlukan kerjasama dengan parti lain.

“Jika ada yang berhasrat untuk bertanding solo, mereka harus mengetahui bahawa ini adalah trend dunia dan saya yakin ini juga berlaku di Sabah,” katanya.

Justeru, ujar Ahmad Zahid, BN dan Pakatan Harapan (PH) masih belum memuktamadkan kerjasama dengan parti lain dan tidak pernah menutup pintu rundingan serta masih terbuka mengenainya sehingga PRN-17 nanti.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian pada sidang media selepas hadir melancarkan Gerak17 UMNO Sabah, Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Parlimen Sepanggar, di Institut Kemahiran MARA (IKM), di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua UMNO Sepanggar, Datuk Yaakub Khan; serta barisan kepimpinan BN, UMNO, Pakatan Harapan negeri dan pusat.

Dalam sidang media sama, Ahmad Zahid turut mengingatkan parti lain agar tidak bersifat kenegerian yang sangat kental kerana setiap parti memerlukan antara satu sama lain sebagai sebuah negara yang dibentuk atas semangat Persekutuan Malaysia.

“Kerana rasa keterbukaan ini, kita tidak mahu ada perasaan kenegerian (regionalistic) yang sangat kental. Kenapa kita perlu membangkitkan perkara itu sedangkan kita memerlukan antara satu sama lain? Jangan membangkitkan perasaan yang begitu dan saya fikir kita sebagai sebuah negara yang dibentuk atas semangat Persekutuan Malaysia.

“Perkara itu harus menjadi tajuk utama bahawa kemajuan antara negeri saling memerlukan dokongan antara satu sama lain. Jangan terlalu berfikiran sempit dan jumud sebagaimana seorang pemimpin di Sabah yang menyatakan perkara ini setiap kali,” katanya.

Menurutnya lagi, kuasa autonomi kepada Sabah kekal sehingga ke hari ini yang turut bersandarkan kepada keyakinannya terhadap Bung selaku ketua parti di Sabah dalam menaikkan semangat penyokong parti sehingga akar umbi termasuk solusi lebih holistik untuk membentuk kerjasama bersama rakan-rakan lain.

SumbeR : Buletintv3.my

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *