Badan Tinggal Separuh Ditemui, Lelaki Hilang Lima Hari Dipercayai Dibaham Buaya

Pasukan bomba mengambil mayat di lokasi kejadian di Sungai Mengalong, Sipitang.

Sipitang: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika memukat ikan lima hari lalu ditemui meninggal dunia dengan keadaan mayat tinggal separuh badan, dipercayai dibaham buaya di Sungai Megalong, di sini, hari ini.

Mangsa, Punggut Madin, 52, dilaporkan hilang pada 1 Mei selepas disambar buaya ketika menarik pukat bersama rakan-rakannya di sungai tersebut.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Calvin Joe Jeafery, penemuan mayat berlaku sekitar jam 12.20 tengah hari, kira-kira 2.3 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sempurna dan disahkan oleh pihak keluarga. Pasukan SAR menggunakan dron untuk memastikan tiada ancaman lain sebelum menghampiri lokasi penemuan,” katanya.

Operasi SAR yang membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan penduduk kampung itu meliputi pencarian sepanjang lapan kilometer sungai menggunakan bot.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.30 petang.

Sebelum itu, mangsa disedari hilang oleh rakan-rakannya ketika mereka sedang menarik pukat dan ada saksi menyatakan dia disambar buaya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *