
TAWAU, 6 Mei 2025 : Seorang penceramah bebas, Ustaz Ahmad Abdul Malik, dilaporkan meninggal dunia selepas kediamannya di Kampung Baru Batu 2 dilanda kebakaran awal pagi tadi.
Menurut perkongsian di Facebook oleh seorang penduduk kampung, Ustaz Ahmad sempat melaungkan azan sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat sesak nafas berpunca daripada asap tebal kebakaran.
“Selepas hantar anak ke sekolah, saya singgah sekejap melihat mangsa kebakaran di Kampung Baru Batu 2. Berikan sedikit sumbangan air mineral,” tulisnya.
Tambahnya lagi, hanya bahagian belakang dapur rumah yang terjejas akibat kebakaran tersebut, namun asap tebal dipercayai menjadi punca kematian almarhum.
“Dukacita pemergian Ustaz Ahmad Malik… Orangnya peramah dan disenangi ramai. Perginya pasti dirindui warga kampung. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amin.”
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan bomba dan penduduk kampung yang bertungkus lumus membantu memadamkan api serta menyelamatkan kawasan sekitar.
“Kepada mangsa kebakaran, semoga tabah menghadapi ujian. Salam takziah kepada keluarga Ustaz Ahmad.”
Pemergian Ustaz Ahmad dalam keadaan yang menginsafkan ini memberikan kesan mendalam kepada masyarakat setempat. Ramai yang mengenang beliau sebagai insan berdedikasi dalam menyampaikan ilmu agama dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah