Pejalan Kaki Wanita Maut Dilanggar Ketika Melintas Jalan Di Putatan

Mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

PENAMPANG: Seorang wanita warga asing maut dirempuh kenderaan semasa melintas jalan di Jalan Kota Kinabalu menghala Papar berhampiran Kampung Dumpil Putatan di sini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, mangsa berumur 28 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

“Pihak polis menerima panggilan berkenaan kejadian pada jam 2.30 petang Jumaat memaklumkan berlaku kes kemalangan jalan raya yang melibatkan dua buah kenderaan iaitu kenderaan pancuan empat roda dan motokar dengan seorang pejalan kaki yang melintas jalan.

“Hasil siasatan di lokasi mendapati pejalan kaki terbabit meninggal dunia akibat rempuhan berkenaan dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pemandu kenderaan iautu lelaki warga tempatan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan dan berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.

“Pihak polis juga ingin menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati hati ketika memandu di jalan raya dan ketika melintas jalan serta tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *