
SEMPORNA: Seorang parah manakala empat lagi cedera ringan selepas kereta yang mereka naiki terbabas dan merempuh tiang elektrik di Jalan Kampung Kubang Jaya, di sini semalam.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.53 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta telah terbabas sendiri dan merempuh tiang elektrik.
“Terdapat lima mangsa lelaki berusia 17 hingga 24 tahun terlibat dalam kemalangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Menurutnya, empat mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital oleh orang awam, manakala seorang lagi parah tersepit di dalam kereta.
“Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dan memberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS.
“Pemeriksan akhir dijalankan bagi memastikan lokasi kemalangan selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.52 petang,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost