
KOTA KINABALU : Tindakan perobohan dan pengosongan rumah di kawasan Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) Semporna, dilaksanakan atas faktor keselamatan susulan kegiatan jenayah rentas negara di penempatan tanpa izin itu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, pihaknya mengambil maklum pelaksanaan operasi itu yang turut tular di media sosial selepas video mengenainya dimuat naik dan mengundang pelbagai reaksi.
Beliau turut difahamkan mesyuarat yang dipengerusikan Taman-Taman Sabah (TTS) dan Ketua Polis Daerah Semporna bersama pihak berkenaan telah diadakan pada 26 April lalu berhubung pengosongan kawasan TMTS.
Katanya, notis pengosongan diedarkan ke 273 rumah di kawasan berkenaan dalam tempoh 2 hingga 4 Mei lalu, sebelum kerja perobohan dilaksana bermula 4 hingga 6 Jun.
Menurutnya, sebanyak 138 unit penempatan tanpa izin yang dibina di lokasi panas sudah dirobohkan.
“Sementara, sejumlah rumah lain dirobohkan sendiri oleh pemilik. Ada juga pemilik yang meninggalkan rumah mereka begitu sahaja, manakala sumber polis memaklumkan terdapat pemilik yang membakar rumah mereka ketika ketiadaan pasukan operasi didakwa untuk meraih simpati,” katanya.
Beliau menegaskan operasi itu dilaksana atas faktor keselamatan susulan insiden tembakan di Teluk Darvel dan bagi mengekang kegiatan jenayah rentas negara.
“Kedaulatan undang-undang negara yang berkuat kuasa dalam isu ini haruslah dipertahankan,” katanyan dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Christina turut menjelaskan, dari sudut pematuhan Enakmen Taman-Taman 1984, TMTS adalah salah satu kawasan yang diwartakan sebagai kawasan TTS.
“Semua kesalahan dalam Enakmen Taman-Taman seperti menangkap ikan, membina struktur tanpa izin dan bercucuk tanam, memberikan kuasa kepada TTS untuk mengambil tindakan seperti mana yang telah diperuntukkan.
“Isu pembukaan hutan di Pulau Bodgaya untuk tujuan pertanian serta pembinaan lebih 200 struktur rumah tanpa izin adalah satu contoh pelanggaran terhadap Enakmen Taman-Taman.
“Semua tindakan yang telah dilaksana ini dipersetujui oleh agensi berkaitan dalam beberapa sesi mesyuarat, termasuk lapan wakil komuniti TMTS sah juga sebulat suara meminta agar komuniti tanpa izin dikeluarkan segera dari kawasan TMTS,” katanya.
SumbeR: HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost