Dua Lagi Jemaah Haji Malaysia Meninggal Dunia

MAKKAH : Lembaga Tabung Haji (TH) melaporkan terdapat dua lagi kematian baru membabitkan jemaah haji Malaysia pada 3 dan 4 Jun lalu, menjadikan kesemuanya empat orang bagi Musim Haji 1445H/2024.

Ketua Rombongan Haji, Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kematian ketiga ialah Allahyarham Ghazali Ahmad, 71, dari Alor Star, Kedah dan keempat ialah Allahyarham Noormadiah Mat Ali, 53, berasal dari Jertih, Terengganu.

“Punca kematian Allahyarham Ghazali adalah disebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan berlaku penyumbatan pada pembuluh darah di perut, manakala Allahyarham Noormadiah meninggal dunia akibat kegagalan fungsi organ disebabkan jangkitan kuman pada paru-parunya,” katanya.

Kedua-dua jenazah dikebumikan masing-masing di Tanah Perkuburan Syuhada Al-Haram dan Tanah Perkuburan Syaraiee selepas disembahyangkan di Masjidil Haram.

“Sebelum itu kedua-dua Allahyarham sudah menerima rawatan di klinik maktab, tetapi keadaan mereka menyebabkan mereka dipindahkan ke Pusat Rawatan TH dan terus dirujuk ke hospital Arab Saudi untuk rawatan lanjut,” katanya lagi.

Menurut Syed Saleh, kedua-duanya meninggal ketika mendapat rawatan di Hospital Arab Saudi.

“Bagi pihak Tabung Haji, kami mengucapkan takziah kepada waris jemaah dan kami mendoakan agar segala amal ibadahnya diterima oleh Allah SWT. Pihak Tabung Haji juga akan mengurus badal haji untuk keduanya dan semua kos ditanggung oleh Tabung Badan Kebajikan Tabung Haji,” katanya.

Sementara itu, seramai 52 jemaah haji Malaysia masing-masing 43 sedang menerima rawatan di Pusat Rawatan TH, manakala sembilan orang lagi dirawat di Hospital Arab Saudi.

Syed Saleh berkata, jemaah yang dimasukkan ke Pusat Rawatan TH dan Hospital Arab Saudi disebabkan oleh masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman pada paru-paru dan lain-lain penyakit seperti masalah jantung, gangguan emosi (psikiatri), dan sakit otot serta sendi.

Justeru itu, Syed Saleh mengingatkan semua jemaah untuk terus menjaga kesihatan lebih-lebih lagi kini berbaki lapan hari lagi sebelum hari wukuf iaitu kemuncak ibadah haji setiap tahun.

“Semua jemaah haji diingatkan untuk mengehadkan masa berada di kawasan panas, kalau boleh kita beribadat saja di dalam bilik atau di surau yang dikhususkan ataupun kalau di masjid carilah tempat yang tertentu dan jangan terdedah kepada cuaca panas kerana khuatir kesihatan kita terganggu apabila berangkat ke Arafah,” katanya.

Cuaca sepanjang operasi Masya’ir dilaporkan sangat panas dan boleh mencecah hingga ke 50 darjah Celcius dan semua jemaah haji dinasihatkan untuk minum air yang mencukupi agar kekal sihat dan untuk mengelakkan berlaku strok haba.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *