Lelaki Warga Asing Bawa Syabu Bernilai Lebih RM200,000 Ditahan

Jasmin (tiga kanan) menunjukkan syabu yang berjaya dirampas dalam kejadian berkenaan.

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan bersama dadah jenis syabu dianggarkan lebih empat kilogram bernilai RM274,320 di Jeti Awam Pelabuhan Lama, di sini, Isnin baru-baru ini.

Suspek ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari oleh sepasukan polis daripada Balai Polis Daerah Tawau selepas menerima maklumat awam mengenai aktiviti pengedaran dadah di jeti berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, pasukan polis mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan membawa empat tong berisi sabun cuci serbuk.

Katanya, pemeriksaan lanjut, menemukan sejumlah enam paket plastik lutsinar disyaki mengandungi seberat 4.5 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM274,320.

“Siasatan awal, suspek berusia 25 tahun itu bergerak dari daerah Kinabatangan ke Tawau dan mahu membawa dadah berkenaan ke negara jiran melalui Jeti Awam, Pelabuhan Lama Tawau.

“Hasil semakan, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian air kencing suspek juga didapati negatif dadah,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, modus operandi suspek adalah memasukan dadah berkenaan ke dalam plastik sabun cuci serbuk bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan diisi ke dalam tong.

“Pihak polis masih menjalankan risikan lanjut dan cuba mengesan sindiket yang terlibat dalam pengedaran dadah ini.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 4 Jun depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Jasmin berkata, pihaknya akan meningkatkan pemeriksaan ke atas bagasi dan tong yang dibawa melalui Jeti Awam Pelabuhan Lama Tawau dari semasa ke semasa.

“Kita mungkin akan menggunakan anjing pengesan bagi menunjukkan kesungguhan dan komitmen pihak polis dalam mencegah pengedaran dadah di daerah ini,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *