DUN Sabah Lulus RUU Anti-Lompat Parti

RUU anti-lompat parti itu mendapat sokongan 75 Adun manakala empat lagi Adun tidak hadir selepas ia dibentangkan Ketua Menteri Hajiji Noor di DUN Sabah hari ini.

KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan rang undang-undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 yang melarang wakil rakyat lompat parti.

RUU itu mendapat sokongan melebihi majoriti dua pertiga ahli dewan selepas ia bentangkan oleh Ketua Menteri Hajiji Noor, dengan 75 Adun menyokong manakala empat tidak hadir.

Berdasarkan Perkara 43 Perlembagaan Negeri Sabah, sebarang pindaan terhadap Perlembagaan memerlukan sokongan majoriti lebih dua pertiga daripada Adun Sabah pada bacaan kedua dan ketiga usul tersebut.

Pada bacaan kali kedua RUU itu, Ketua Pembangkang Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) bangun mencadangkan supaya undi belah bahagian bagi Fasal 2 RUU tersebut, iaitu fasal itu bertujuan menggugurkan Perkara 6 (7) dalam Perlembagaan tersebut.

Empat fasal dalam RUU itu diluluskan dengan suara terbanyak, manakala undi belah bahagian bagi Fasal 2 itu disokong 61 Adun yang bersetuju Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri digugurkan, 14 Adun tidak bersetuju, manakala empat tidak hadir.

Bagi bacaan ketiga RUU itu, seramai 75 Adun menyatakan sokongan manakala empat tidak hadir.

Hajiji ketika menggulung perbahasan usul itu berkata RUU itu bertujuan menggugurkan Perkara 6(7) dalam Perlembagaan Negeri Sabah adalah kerana ia tidak lagi selaras dengan kehendak di bawah Perkara 6(3) berikutan situasi politik semasa.

Perkara 6(3) antara lain merujuk tentang Yang Dipertua Negeri Sabah melantik seorang ketua menteri yang merupakan seorang Adun negeri yang pada pertimbangannya mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan.

Perkara 6(7) pula merujuk sebuah parti politik yang memenangi kerusi majoriti pada pilihan raya, ketua parti itu merupakan seorang Adun Sabah yang mempunyai kemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan.

Menjelas lanjut, Hajiji berkata sejak pilihan raya umum ke-14 pada 2018, tiada sebuah parti politik yang memperoleh majoriti untuk mentadbir negeri dan sejak itu kerajaan negeri ditadbir oleh gabungan parti politik.

“Tiada mana-mana parti menang kerusi majoriti dan kerajaan negeri jadi tergantung atau ‘hung government’, terjadi di negeri ini sejak 2018. Kerajaan negeri sejak 2018 adalah sebuah kerajaan gabungan, jadi ini tidak memenuhi kehendak Perkara 6(7) itu.

“Ini (pindaan) memudahkan TYT (Yang Dipertua Negeri Sabah) membuat keputusan mengikut budi bicara, siapa dapat sokongan majoriti itu dan ruang TYT memikirkan kalau sokongan (sebuah parti) tidak melebihi 50% itu bagaimana kedudukan gabungan dan sokongan wakil rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pindaan Perlembagaan hari ini tidak melibatkan Adun dilantik kerana mereka tersebut tidak dipilih pada pilihan raya oleh rakyat dan tidak mempunyai kawasan yang diwakili.

“Ia lebih kepada sering diperkatakan prinsip wakil yang telah dipilih oleh rakyat itu mengekalkan kepercayaan yang diberikan kepada rakyat kepada mereka. Maka pindaan ini melibatkan Adun yang dipilih rakyat dan bukan Adun dilantik,” katanya.

Sabah mempunyai seramai 79 ADUN dengan 73 daripadanya dipilih menerusi pilihan raya manakala enam dilantik. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *