Hajiji Arah Teruskan Pembinaan CIQS Di Sabah

Hajiji Noor

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Hajiji Noor mengarahkan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia) agar meneruskan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Serudong, Kalabakan dan Bantul, Pagalongan.

Beliau berkata, Sedia yang merupakan pihak berkuasa negeri bagi pembangunan bandar sempadan, perlu meneruskan projek itu kerana ia antara projek pembangunan utama untuk Sabah.

Hajiji yang juga pengerusi Sedia berkata, kos pembangunan CIQS Kalabakan dianggarkan RM815 juta dan daripada jumlah itu, RM600 juta untuk pembinaan jalan sepanjang 39km, manakala RM215 juta untuk pusat CIQS.

“Bagi projek pembangunan CIQS di Pagalongan, termasuk pembinaan jalan raya, akan menelan belanja sebanyak RM509.4 juta,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah Sedia di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

Pada 23 Mac lepas, Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof ketika menjawab secara bertulis soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) di Parlimen, dilaporkan berkata pembinaan CIQS Kalabakan ditangguhkan kerana tiada peruntukan diberikan Kementerian Kewangan.

Hajiji yang juga menteri kewangan Sabah berkata, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Pejabat Perdana Menteri telah memaklumkan unit itu tidak mempunyai bantahan terhadap projek berkenaan, tetapi menasihati Sedia meneruskan perkara itu dengan kementerian berkaitan.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), katanya, RM187.5 juta telah diperuntukkan kepada Sedia untuk tujuh projek dan sehingga Februari lalu, ia telah menerima RM74.25 juta.

Antara projek mega di bawah RMK12 ialah cadangan Pelan Tindakan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) untuk pembesaran pelabuhan kontena Teluk Sapangar yang juga projek pertama di Sabah melaksanakan Program Kolaborasi Industri (ICP).

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan nilai kredit ICP bagi cadangan pembesaran pelabuhan kontena Teluk Sapangar setakat ini mencecah RM493 juta atau 54.8% merangkumi sembilan projek.”

Hajiji berkata, Sedia akan melaksanakan 30 inisiatif di bawah SDC 2030 sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi seimbang di seluruh Sabah, antaranya menangani kesan pandemik merangkumi lima teras strategik, iaitu ekosistem perniagaan, ekonomi, modal insan, pembangunan sosial dan kemampanan alam sekitar.

Katanya, SDC 2030 diselaraskan dengan RMK12 Kempen Keluarga Malaysia dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) serta Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Dalam pada itu, Hajiji berkata, RM58.8 juta telah diagihkan kepada 41 kawasan Dewan Undangan Negeri dan 11 Parlimen di Sabah untuk menaik taraf infrastruktur awam dan pembasmian kemiskinan di kawasan Sedia di bawah projek kecil, berimpak tinggi dan berjiwa rakyat. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *