Pencerobohan Lahad Datu Beri Hak Henti Bayar Waris Sulu Pampasan, Kata Penganalisis

Bunn Nagara berkata, dalang serangan ke atas Lahad Datu pada 2013, Jamalul Kiram III diiktiraf sebagai Sultan Sulu oleh dua kerajaan Filipina.

KUALA LUMPUR : Pencerobohan Lahad Datu 2013 yang diketuai seorang individu mendakwa dirinya waris Kesultanan Sulu, memberikan Malaysia hak untuk menghentikan pampasan tahunan sebanyak RM5,300 kepada waris Sultan Sulu, kata seorang penganalisis politik.

Penganalisis politik, Bunn Nagara.

Bunn Nagara, felo penyelidik kehormat di Akademi Perak berkata, terdapat “perjanjian gentlemen” pada 1963 selepas pembentukan Malaysia, di mana ia bersetuju meneruskan pembayaran pampasan tahunan itu.

Katanya, hakikat bahawa keturunan Sulu mendekati Malaysia ketika itu adalah bukti mereka tidak tahu Malaysia “terikat” untuk meneruskan pembayaran berkenaan.

Dalam webinar anjuran bersama Jawatankuasa Majlis Peguam Kuala Lumpur dan Persatuan Undang-undang Sabah, Bunn berkata, perjanjian 1963 disertakan syarat waris Sulu tidak boleh mengganggu Malaysia dengan tuntutan mereka.

“Pada 2013, mereka mengganggu Malaysia dalam tindakan paling ekstrem dengan serangan bersenjata fizikal, membunuh orang.

“Malaysia mempunyai hak untuk menghentikan tuntutan itu kerana mereka telah melanggar perjanjian itu,” katanya.

Februari lalu, sebuah mahkamah timbang tara Perancis mengarahkan Putrajaya membayar sekurang-kurangnya USD14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada keturunan Sultan Sulu terakhir.

Penimbang tara, Gonzalo Stampa memutuskan Malaysia melanggar perjanjian 1878 antara kerajaan lama Sulu di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang mentadbir kawasan kini dikenali sebagai Sabah.

Bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Terdahulu, dalam webinar itu, bekas peguam negara, Tommy Thomas berkata, ia merupakan “misteri” mengapa Malaysia menghentikan bayaran pampasan tahunan selepas 2013, yang akhirnya menyaksikan tuntutan itu dibuat di mahkamah timbang tara.

Selepas kenyataan Bunn, Thomas berkata, tiada bukti mengaitkan penerima bayaran tahunan itu dengan pencerobohan Lahad Datu 2013, yang didalangi Jamalul Kiram III.

Katanya, beliau tidak pernah ditunjukkan sebarang dokumen mengenai perjanjian “gentlemen” 1963 yang dipersetujui dengan keturunan Sulu ketika menjadi peguam negara.

Beliau berkata, timbul pertikaian antara waris Sulu pada 1939 berhubung siapa yang layak mendapat pembayaran tahunan RM5,300. Mahkamah Tinggi Borneo Utara kemudian memutuskan pampasan itu diberikan kepada sembilan individu.

“Jika kita mempunyai bukti objektif bahawa penceroboh Lahad Datu adalah keturunan atau ada kaitan dengan mereka, maka lebih berhemat untuk Malaysia ke mahkamah Kota Kinabalu.

“Di mahkamah Kota Kinabalu, Malaysia sepatutnya memohon pengisytiharan bahawa kesan daripada pelanggaran ini, berlaku pelanggaran asas perjanjian (1963), yang akan menyaksikan perjanjian itu ditamatkan dan kita berhenti membayar.

“Akhirnya, bila berlakunya pertikaian, ia akan dikawal oleh alasan undang-undang. Dan itu adalah kesilapan pada 2013 – kita tidak mendapatkan perintah mahkamah yang mewajarkan kita (menghentikan pembayaran itu).”

Tetapi, Bunn berkata, Jamalul, yang merupakan dalang di sebalik serangan pada 2013, diiktiraf sebagai Sultan Sulu oleh dua kerajaan Filipina. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *