Lebih 500 Kanak-Kanak Dijangkiti Covid-19 Di Sabah

KOTA KINABALU: Lebih 500 kanak-kanak belum menerima vaksin berumur di bawah 11 tahun adalah antara 3,891 individu yang direkodkan dijangkiti Covid-19 di Sabah, semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun daripada jumlah itu, seramai 189 orang adalah kanak-kanak berumur bawah lima tahun yang belum layak divaksin.

Katanya, seramai 329 orang lagi adalah kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun yang belum menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

“Kes jangkitan virus Covid-19 ke atas kanak-kanak kecil adalah agak tinggi. Sehubungan itu, ibu bapa dan pengurusan sekolah hendaklah mengambil langkah perlu untuk mengurangkan risiko jangkitan ke atas anak kecil apatah lagi mereka yang belum layak diberi vaksin,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, kes jangkitan secara sporadik melalui saringan bergejala menjadi faktor utama jumlah kes meningkat mendadak di semua daerah di Sabah.

Secara keseluruhan, katanya 58.52 peratus atau 2,277 daripada 3,891 kes baharu di seluruh negeri semalam adalah kes saringan bergejala yang berpunca daripada jangkitan sporadik.

“Secara keseluruhan jangkitan kes baharu Covid-19 di Sabah berkurang sedikit sebanyak 216 kes kepada 3,891 kes semalam berbanding 4,107 kes kelmarin.

“Daerah Kota Kinabalu kekal mencatat kes tertinggi di Sabah dengan 914 kes semalam, diikuti Sandakan (478), Tuaran (414), Penampang (389), Papar (256) dan Tawau (245),” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *