Tempahan Tiket Penerbangan Ke Kota Kinabalu Meningkat

Izham (dua dari kiri) memberikan penerangan kepada delegasi Sabah yang diketuai oleh Jafry (dua dari kanan) ketika pertemuan di Akademi MAB, Petaling Jaya. – Foto ihsan STB

KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) mencatatkan peningkatan tempahan tiket ke Sabah selepas kerajaan negeri melonggarkan syarat ujian saringan COVID-19 kepada pengunjung datang ke negeri ini bermula 1 Disember.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Kapten Izham Ismail, berkata penjualan tiket bagi penerbangan ke Kota Kinabalu adalah yang tertinggi untuk MAS sepanjang tempoh pameran

MATTA Fair yang berakhir, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada delegasi Sabah yang diketuai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Jafry Ariffin, dalam pertemuan yang diadakan di Akademi MAB di Petaling Jaya, Selangor, kelmarin.

Izham berkata, Sabah adalah hab penting bagi mereka dan MAS telah meningkatkan penerbangan mingguan ke Kota Kinabalu daripada 68 kepada 75 penerbangan dari November hingga Disember tahun ini.

Katanya, syarikat penerbangan terbabit juga akan menyambung semula perkhidmatan penerbangan antara Pulau Pinang dan Kota Kinabalu mulai 1 Disember ini.

Dengan sempadan antarabangsa dijangka dibuka semula tahun hadapan, MAS juga menyatakan persediaan mereka untuk membawa masuk pelawat antarabangsa ke negara ini dan seterusnya ke Sabah.

Sementara itu, Jafry berkata bahawa penjualan tiket penerbangan yang memberangsangkan itu adalah petunjuk bahawa pelancongan semakin pulih dan ramai rakyat Malaysia masih bersemangat untuk melawat Sabah.

“Kementerian dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB), sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan MAS untuk mewujudkan semula penerbangan terus domestik dan antarabangsa ke Sabah.

“Kami menyasarkan untuk melihat ketibaan pelawat meningkat selepas sekian lama industri pelancongan terhenti dan ini tidak akan dicapai tanpa bantuan daripada syarikat penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *